MIRI, 22 Jun: Polis Miri berjaya menyelesaikan sindikit kes samun berkawan bersenjata kurang daripada 24 jam dengan menangkap dan merampas kembali barang yang disamun dari mangsa dalam kejadian yang berlaku di kediaman Taman Viana, Jalan Bakam di sini, pada jam 4 pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya telah menerima satu laporan kes samun berkawan bersenjata daripada panggilan 999 berlaku di sebuah rumah berkembar dua tingkat itu.
“Pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri terus ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa sekeluarga. Setiba polis di tempat kejadian kumpulan samun tersebut telah melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat daripada orang awam, pihak polis berjaya mengesan kedudukan kumpulan samun tersebut,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis telah menumpaskan satu sindiket samun berkawan bersenjata ini kurang dari 24 jam dengan menangkap dan merampas kembali barang yang disamun dari mangsa.
“Kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing telah ditangkap berusia antara 38 tahun hingga 57 tahun.
“Kenderaan, pisau pemotong, cutter, topeng muka dan pakaian milik suspek telah dirampas semasa serbuan. Barang lain yang turut dijumpai ialah jam tangan, barang kemas, dokumen diri, beg duit berisi sejumlah wang tunai dipercayai milik mangsa,” ujarnya.
Katanya, sindiket ini disyaki terlibat dalam beberapa kes samun berkawan bersenjata di daerah Miri dari tahun 2024 hingga 2025, kesemua suspek telah diluluskan reman selama tujuh hari dari 20 hingga 27 Jun 2025.
“Pihak polis berterima kasih kepada maklumat orang awam. Masyarakat diminta untuk sentiasa peka dengan persekitaran masing-masing serta meningkatkan sistem kawalan keselamatan di kediaman seperti pemasangan pagar dan gril yang kukuh, CCTV serta sistem alat penggera,” tegasnya.-TVS