JAKARTA, 21 Jun: Sekurang-kurangnya 256 orang telah terjejas akibat fenomena pergerakan tanah yang melanda kawasan Purwakarta, Jawa Barat, pertama kali berlaku pada 20 April lalu dan berulang sehingga bulan Jun ini.
Berdasarkan data terkini daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, fenomena pergerakan tanah telah berlaku sebanyak tiga kali sehingga keadaan ini menyebabkan bencana semakin parah dan kawasan terjejas kini meluas hingga 10 hektar.
Ketua BNPB, Suharyanto, dalam lawatannya ke lokasi bencana menyatakan bahawa kawasan tersebut tidak lagi sesuai untuk didiami, proses relokasi kekal akan dilaksanakan memandangkan kerosakan rumah penduduk terlalu teruk dan kawasan itu tidak lagi selamat untuk dihuni akibat struktur tanah yang tidak stabil dan terus bergerak.
“Kita dapat lihat bahawa rumah-rumah penduduk telah mengalami kerosakan yang sangat teruk akibat bencana ini dan mereka akan dipindahkan secara kekal bagi mengelakkan sebarang korban nyawa akibat pergerakan tanah yang masih berlaku,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang melakukan penyelarasan dengan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) bagi mengkaji punca fenomena tersebut.
Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan status darurat bencana sehingga 1 Julai 2025, bagi mempercepatkan usaha penanganan dan pemulihan di kawasan terjejas.
Sementara itu, orang ramai diminta untuk tidak kembali ke zon bencana kerana pergerakan tanah masih berlaku dan berisiko menyebabkan tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa.-TVS