MUKAH, 20 Jun: Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sekitar Bahagian Mukah semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi ini melibatkan kekuatan seramai 12 anggota penguatkuasa yang merupakan Pasukan Tindakan Khas (PTK).
“Sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 33 individu telah diperiksa, membabitkan warga tempatan dan warga asing.
“Hasil pemeriksaan sembilan orang warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua tahanan kini dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.
“JIM Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan menyeru semua majikan, pemilik premis dan orang awam agar tidak bersekongkol atau melindungi warga asing,” tegasnya.- TVS