KUCHING, 20 Jun: Sebuah kereta jenis Perodua Axia musnah kira-kira 60 peratus selepas terbakar ketika diletakkan di kawasan parkir di Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.49 pagi.
Susulan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta yang diletakkan di tempat parkir dan api telah memusnahkan kira-kira 60 peratus struktur kenderaan berkenaan.
“Kerja-kerja pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari pam jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tiada kecederaan dilaporkan.