BINTULU, 20 Jun: Dua bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu semasa rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata kedua-dua tangkapan dibuat kurang daripada tempoh satu jam di kedudukan 4.9 batu nautika Barat Laut Kuala Kemena oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP TIRIS 3.0 dan OP PERMAI 01/2019.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot tersebut sedang berapung dan merapat di sisi tongkang yang sedang membuat kerja-kerja pemunggahan kayu balak dari sebuah kapal kargo,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
‘Tangkapan pertama dibuat pada pukul 4.55 petang ke atas sebuah bot tunda yang dikendalikan oleh empat kru termasuk nakhoda warga Indonesia, seorang kru warga tempatan dan seorang lagi kru warga Myammar berumur dalam lingkungan 26 hingga 53 tahun.
Tangkapan kedua dibuat pada pukul 5.30 petang, ke atas sebuah bot tunda yang dikendalikan oleh empat kru termasuk nakhoda warga Myammar dan seorang kru warga tempatan berumur 31 hingga 54 tahun.
Kedua-dua bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 249O, iaitu merujuk kepada Seksyen 24(9) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana nakhoda gagal melapor ketibaan sebelum memasuki kawasan had pelabuhan, yakni jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompoun.
“Kedua-dua bot terbabit bersama kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.