KUCHING, 18 Sept: Sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Kampung Krokong, Bau hangus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata seramai tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.24 pagi.
Sementara itu, di Miri pula menyaksikan insiden sama yang melibatkan sebuah premis penyimpanan peralatan dan perkakasan komputer yang hangus sepenuhnya di Jalan Klinik Komuniti Permai, Miri.
Sejurus menerima laporan pada jam 5:04 pagi berhubung kejadian berkenaan, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden berkenaan.
Pasukan Forensik Kebakaran masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah taksiran sebenar kerugian kedua-dua insiden terbabit. -TVS