ISTANBUL, 19 Jun: Turkiye menaikkan harga petrol dan diesel pada Khamis susulan peningkatan ketegangan geopolitik antara Iran dan Israel yang terus mendorong kenaikan harga minyak global dan memberi kesan kepada pasaran domestik, lapor Xinhua.
Menurut Petrol Ofisi, pengedar utama bahan api dan pelincir Turkiye, harga petrol kini mencecah 49.99 lira Turkiye (sekitar US$1.26) seliter manakala diesel naik kepada 51.39 lira (kira-kira US$1.30).
Sepanjang minggu lalu, harga petrol di Turkiye meningkat lebih tiga lira – kenaikan sebanyak 6.55 peratus manakala harga diesel melonjak lima lira, kenaikan 11.16 peratus.
Kenaikan harga itu menekankan kesan ketidakstabilan serantau terhadap ekonomi pengimport minyak, kata pakar dasar tenaga Necdet Pamir.
Beliau memberitahu Xinhua bahawa pengguna di Turkiye bakal berdepan kenaikan kos dalam hampir semua barangan, termasuk import gas asli dari Iran, memandangkan semuanya bergantung kepada harga minyak global.
Minyak mentah Brent – satu daripada penanda aras utama harga petroleum global – diniagakan sekitar US$66 setong sebelum permusuhan tercetus, namun meningkat kepada lebih US$76 pada Khamis.-TVS