SIBU, 18 Jun: Seorang pelajar universiti berusia dalam lingkungan 20-an mengalami kerugian berjumlah RM100,400 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu oleh sindiket pelaburan yang beroperasi melalui WhatsApp.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah terpedaya dengan iklan pelaburan menggunakan nama Homin International Finance Academic (HIFA) yang dilihat melalui aplikasi Facebook pada 1 Mei lalu.
“Mangsa kemudiannya memberikan nombor telefon melalui pautan iklan tersebut dan telah dihubungi serta dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zulkipli, dalam kumpulan WhatsApp berkenaan, ‘admin’ telah memberi arahan dan panduan berkaitan pelaburan, termasuk berkongsi tangkap layar dan testimoni kononnya daripada pelabur lain yang telah memperoleh keuntungan.
“Tanpa menyedari taktik penipuan tersebut, mangsa melakukan tujuh transaksi pindahan wang berjumlah RM100,400 ke dalam lima akaun bank tempatan berbeza,” ujarnya.
Tambah beliau, mangsa mula menyedari ditipu selepas ibu saudaranya mempersoalkan pelaburan tersebut, terutama selepas mangsa meminta pinjaman wang daripadanya.
Semua bayaran yang dibuat menggunakan wang yang dipinjam daripada rakan dan ibu saudara mangsa.
Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.