KUCHING, 19 Jun: Kuching Festival 2025 bakal menampilkan dua acara baharu, Kuching Festival Cosplay Competition dan The K-Stage: Kuching Festival K-Pop Dance Cover Competition yang dijangka akan menjadi tumpuan belia dan komuniti kreatif tempatan.
Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama Star Studio itu merupakan bukti komitmen MBKS untuk mendekati anak muda melalui kaedah yang lebih kreatif.
Menurut Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, pertandingan seperti ini bukan sekadar platform persembahan tetapi menjadi satu ruang untuk membentuk disiplin diri dan membina keyakinan diri.
“Ini dapat membantu para peserta untuk membina keyakinan diri dan kebolehan untuk berada di hadapan khalayak ramai.
“Pada masa yang sama mereka dapat melatihkan diri dalam pengurusan masa, disiplin serta komitmen untuk mencapai matlamat sebelum tarikh akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kuching Festival Cosplay Competition dan The K-Stage: Kuching Festival K-POP Dance Cover Competition di sini, hari ini.
Kata beliau lagi, pertandingan yang diperkenalkan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuklah Kesihatan yang Baik dan Sejahtera (SDG 3), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11) dan Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17).
Budaya yang pada mulanya berasal dari negara Asia Timur itu juga memupuk semangat kekitaan dalam kalangan belia melalui minat dan hobi yang sama sekali gus membina komuniti yang positif dan saling mendorong antara satu sama lain.
Dengan penganjuran aktiviti-aktiviti seperti ini, MBKS menyediakan ruang untuk mengasah bakat golongan belia dan memberi pengiktirafan yang sewajarnya terhadap bakat yang unik dan kreatif itu.
Kuching Festival Cosplay Competition akan diadakan pada Sabtu, 2 Ogos manakala The K-Stage: Kuching Festival K-Pop Dance Cover Competition akan berlangsung pada hari berikutnya, Ahad, 3 Ogos.