LOS ANGELES, 19 Jun: Pasukan bola keranjang terkenal NBA, Los Angeles Lakers yang menampilkan bintang-bintang seperti LeBron James dan Luka Doncic, bakal menyaksikan pertukaran pemilikan bernilai berbilion dolar, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.
Menurut laporan, bilionair Mark Walter dilaporkan akan membeli sebahagian besar pegangan saham keluarga Buss “dengan anggaran sekitar US$10 bilion,” menurut wartawan ESPN Shams Charania yang memetik sumber.
Pada Mac lalu, pasukan seteru tradisi Lakers, Boston Celtics dijual pada harga hampir US$6 bilion, mencatatkan rekod penjualan tertinggi bagi mana-mana francais sukan di Amerika Utara pada ketika itu.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dilaporkan, Jeanie Buss akan kekal sebagai gabenor pasukan Lakers, manakala keluarga Buss akan mengekalkan pegangan minoriti sebanyak 15 peratus dalam tempoh tertentu, menurut laporan ESPN.
Keluarga Buss menjadi pemilik majoriti pasukan Lakers sejak 1979. Sepanjang tempoh itu, pasukan dari California Selatan ini merangkul 11 kejuaraan NBA.
Walter, 65, merupakan ketua kepada sebuah syarikat perkhidmatan kewangan global. Beliau juga merupakan pemilik pasukan Major League Baseball (MLB) Los Angeles Dodgers serta memiliki saham dalam kelab Chelsea di Liga Perdana Inggeris. – TVS