SIBU, 19 Jun: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menahan seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar bandar ini semalam.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi itu dilaksanakan oleh 12 anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) hasil risikan dalaman.
“Operasi menyasarkan dua premis iaitu sebuah pusat hiburan (KTV) dan sebuah rumah kedai yang disyaki menjadi lokasi aktiviti serta penempatan warga asing tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan ke atas 110 individu dilakukan dan 84 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka terdiri daripada 67 lelaki dan 17 wanita iaitu tiga lelaki dan 17 wanita warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar, serta 63 lelaki warga Pakistan.
Menurut Abdul Halim, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – tidak memiliki pas atau permit sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama – tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 – menyalahgunakan pas lawatan atau permit.
Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi menjamin kedaulatan undang-undang dan menyeru majikan, pemilik premis serta orang awam agar tidak melindungi PATI kerana tindakan undang-undang akan dikenakan tanpa kompromi.-TVS