MIRI, 17 Sept: Bangkai seekor buaya ditemui terdampar oleh orang awam di pantai Kuala Suai, Niah kira-kira jam 9 pagi tadi.
Menurut jurucakap Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), sejurus dihubungi orang awam susulan penemuan itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan kami berjumpa dengan ketua kampung dan pergi bersama ke lokasi di mana bangkai itu ditemukan,” katanya.
Buaya jantan itu berukuran panjang 13 kaki dan lebar satu kaki lima inci.
Pihak SFC juga mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari bangkai buaya itu untuk dibawa ke makmal.
Buaya tersebut dikatakan tidak mempunyai sebarang tanda kecederaan pada bangkainya.
Bangkai buaya itu dikebumikan di satu lokasi yang tidak didedahkan. -TVS