Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak bakal menerima kehadiran dua penilai lantikan UNESCO dari 23 hingga 26 Jun ini bagi menjalankan penilaian terakhir dan paling penting dalam usaha Sarawak Delta Aspiring Geopark memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Global UNESCO. Foto fail Firdaus Ismail (TVS)

Sarawak Delta hampiri status Geopark Global UNESCO

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 18 Jun: Sarawak bakal menerima kehadiran dua penilai lantikan UNESCO dari 23 hingga 26 Jun ini bagi menjalankan penilaian terakhir dan paling penting dalam usaha Sarawak Delta Aspiring Geopark memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Global UNESCO.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), lawatan tersebut merupakan penanda aras utama sebelum negeri ini mencapai status berprestij di peringkat antarabangsa.

Dua pakar berkenaan, ahli geologi dari Perancis Jean-Simon Pagès dan ahli geografi dari Sepanyol Antonio Garcia Jiménez, merupakan tokoh yang diiktiraf dalam bidang penilaian dan pengurusan geopark di peringkat global.

“Kedua-dua penilai ini membawa pengalaman luas dalam bidang geopark dan hasil penilaian mereka bakal menjadi penentu sama ada Sarawak Delta Geopark memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan UNESCO,” jelas kenyataan itu.

Sepanjang lawatan, mereka akan menjalankan pemeriksaan tapak di beberapa lokasi utama yang menonjolkan keunikan geologi, biodiversiti dan warisan budaya Sarawak.

Antara lokasi yang akan dinilai termasuk Schist Tuang Semeba dan Paku Rock Maze di Bau, Wind Cave Nature Reserve, serta Semenggoh Nature Reserve di Padawan.

Penilai turut dijadual melawat mercu tanda budaya seperti Muzium Budaya Borneo dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong.

Selain itu, mereka akan berkunjung ke Kampung Peros di Krokong, yang merupakan kampung model geopark, serta SMK Paku, sekolah geopark yang aktif dalam mempromosikan kesedaran terhadap pemuliharaan geologi.

Beberapa lokasi lain dalam kawasan geopark turut dinilai bagi menonjolkan usaha Sarawak dalam pemuliharaan alam dan pendidikan.

Menurut kenyataan itu lagi, misi ini dilihat sebagai peluang untuk Sarawak mengetengahkan visi pembangunan mampan negeri serta komitmen melindungi khazanah semula jadi.

Dengan keluasan 3,112 kilometer persegi, Sarawak Delta Geopark menampilkan landskap dramatik, formasi batuan purba dan komuniti pribumi yang kaya budaya.

Beberapa ciri geologi di kawasan ini dianggarkan berusia lebih 250 juta tahun, hasil daripada perubahan tektonik utama yang berlaku sejak zaman purba.

Sejarah geologi ini mengaitkan Sarawak dengan naratif lebih besar yang merentasi Asia Tenggara, Eropah dan pelbagai wilayah dunia lain.

Pasukan Sarawak Delta Geopark turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, komuniti dan rakan strategik atas sokongan dalam persediaan menerima kunjungan UNESCO ini.

Segala usaha ini mencerminkan harapan bersama agar nama Sarawak diangkat ke peta dunia sebagai salah satu Geopark Global UNESCO. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan