KUCHING, 19 Jun: Kerjasama strategik ASEAN dengan kuasa-kuasa besar seperti China, Jepun, Republik Korea dan Kesatuan Eropah (EU) dalam sektor tenaga terus diperhebat menerusi penganjuran siri dialog dua hala sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), dialog berkenaan menandakan kemajuan signifikan dalam memperkukuh jalinan serantau ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan bersepadu.
Antara tumpuan utama mesyuarat ialah pelaksanaan ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) Fasa II (2021–2025) serta hala tuju awal bagi APAEC baharu bagi tempoh 2026–2030, yang menekankan kepada peralihan tenaga bersih, keselamatan bekalan dan integrasi serantau.
“Negara anggota ASEAN turut berkongsi perkembangan inisiatif bersama, khususnya dalam aspek tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga dan penggunaan tenaga nuklear secara aman,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat SOME+3 Energy Policy Governing Group (EPGG) ke-24 menyaksikan dialog tiga hala bersama China, Jepun dan Republik Korea, memperkukuh perkongsian teknikal dan dasar dalam bidang tenaga mampan.
Sementara itu, Dialog Tenaga ASEAN-EU kali ke-3 turut memberi penekanan kepada kerjasama dalam perdagangan elektrik rentas sempadan, peningkatan kecekapan tenaga di kawasan bandar dan pelaksanaan ASEAN-EU Energy Cooperation Work Plan 2025–2026.
Pelan kerja ini merangkumi beberapa inisiatif utama seperti ASEAN Green Initiative dan Sustainable Connectivity Package (SCOPE), sekali gus memperlihatkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau ke arah sistem tenaga rendah karbon dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi Pusat Tenaga ASEAN (ACE) yang dipengerusikan Malaysia turut membincangkan pelan kerja 2025 termasuk pembangunan rangka kerja subsidi tenaga boleh baharu dan persiapan ASEAN Energy Business Forum (AEBF) 2025.
“Malaysia turut menekankan peranan penting ACE sebagai pemacu utama agenda peralihan tenaga di rantau ini,” kata PETRA.
Keseluruhan hasil perbincangan sepanjang tiga hari penganjuran SOME ke-43 itu akan dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) di Kuala Lumpur Oktober ini, sebagai langkah strategik menjayakan aspirasi jangka panjang ASEAN dalam bidang tenaga.