Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tengku Muhammad Taufik (kanan) hadir pada Majlis Penutupan Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini. Foto: Afiq Johari (TVS)

AI diyakini bawa perubahan besar dalam sektor tenaga

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Perbincangan mengenai keperluan tenaga elektrik untuk kecerdasan buatan (AI) terus mendapat perhatian namun kesan AI kini sudah membawa perubahan ketara dalam operasi di pelbagai negara.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, slogan “tenaga untuk AI, AI untuk tenaga” semakin kerap disebut yang mencerminkan eratnya hubungan antara teknologi dan sektor tenaga.

“Saya berpandangan ia telah menjadi mantra yang sering disebut di sini. Ia akan menjadikan penilaian sistem tenaga, iaitu satu prospek yang lebih sukar, tetapi mungkin lebih dipermudahkan kerana AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik turut mengakui keperluan membekalkan jumlah tenaga yang besar dalam tempoh terdekat menjadi satu cabaran besar namun beliau yakin AI mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan apabila beroperasi sepenuhnya.

“Melihat kepada sistem tenaga, cabaran jangka masa pendek dan prospek jangka masa pendek untuk membekalkan jumlah yang banyak ini, ia sememangnya menjadi satu cabaran namun kami percaya AI akan mengubah sistem tenaga dengan sangat ketara,” jelasnya.

Mengenai masa depan PETRONAS pula, Tengku Taufik berkata, syarikat nasional itu berpandangan keinginan berterusan untuk melihat pertumbuhan ekonomi dan pembandaran di ASEAN serta Asia-Pasifik dijangka mendorong trajektori peningkatan penggunaan tenaga.

“Melihat melalui lensa keinginan yang berterusan untuk pertumbuhan dan usaha yang wajar serta sah untuk pembangunan ekonomi, kemajuan ke arah lebih banyak pembandaran, pertumbuhan pendapatan pertengahan, demografi dalam ASEAN dan Asia-Pasifik khususnya, saya percaya hanya ada satu trajektori untuk penggunaan tenaga di sini, dengan ia akan terus meningkat, walaupun terdapat penjimatan kecekapan, terutamanya apabila kita mengejar dan menyokong Revolusi Perindustrian Kelima melalui AI,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa PETRONAS telah lama menyokong penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga yang fleksibel dan pantas, khususnya bagi negara-negara yang belum dapat membangunkan sambungan grid tenaga dengan cepat.

Pada majlis itu, Tengku Taufik turut memaklumkan Persidangan Energy Asia edisi seterusnya akan diadakan pada 2 hingga 4 Jun tahun depan di lokasi sama.

Persidangan tersebut menghimpunkan pemimpin tenaga antarabangsa, pembuat dasar dan pakar industri dari seluruh dunia bagi membincangkan transformasi sektor tenaga Asia ke arah yang lebih hijau dan berdaya tahan.

Antara fokus utama persidangan adalah pelan jangka panjang peralihan tenaga negara, merangkumi strategi pembangunan tenaga hidro, hidrogen serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan