KUCHING, 18 Jun: Dua lokasi di Sarawak iaitu Limbang dan Lawas telah digazetkan manakala beberapa kawasan lagi akan dikenal pasti bagi tujuan penanaman padi sebagai persiapan masa hadapan keterjaminan bekalan asas makanan khususnya beras.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, persediaan itu dibuat oleh kerajaan negeri berikutan keadaan perubahan iklim dan politik yang tidak menentu ditambah pula dengan peperangan yang berlaku antara Rusia dan Ukrain dan konflik di Timur Tengah serta negara-negara yang mempunyai kepentingan di Laut China Selatan.
Tambahnya lagi, ketika ini beras masih diimport oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dengan 68 peratus dari beras itu diimport dari luar negara iaitu Vietnam dan India.
“Jika dua negara ini yang merupakan pengeksport terbesar mengurangkan jumlah eksport, kita akan berada dalam keadaan bahaya dan kerana itulah kita sangat serius dalam menanam padi.
“Dari awal lagi saya telah mengatakan, kita perlu melakukan gazet ke atas tanah bagi tujuan penanaman padi, namun tiada yang mahu melakukan penanaman padi kerana hasilnya tidak sebanyak hasil yang dihasilkan oleh kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi, Jabatan Pertanian Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Beliau berkata, menerusi kaedah penanaman padi secara moden dan hybrid yang telah dilakukan di Hainan, China mendapati padi yang dihasilkan mampu mencapai hingga 15 metrik tan padi per hektar dengan proses penanaman benih padi hanya sekali bagi setiap musim.
Selain itu katanya lagi, Sarawak telah memulakan beberapa inisiatif lain dalam mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import dari luar termasuk menghasilkan bahan asas untuk ternakan termasuk penanaman lain seperti soya dan jagung.
“Kita perlu bersedia untuk menghasilkan bahan mentah untuk makanan ternakan seperti apa yang dilakukan oleh SALCRA sekarang dan juga perancangan untuk menanam jagung dan apa sahaja yang diperlukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada soya, jangung dari Brazil dan Amerika Selatan,” ujarnya.-TVS