KUALA LUMPUR, 18 Jun: Pemain boling kebangsaan, Gillian Lim menamatkan kempen Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2025 di tempat ketujuh sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan lebih RM36,000 pada Selasa.
Atlet berasal dari Miri, Sarawak itu hampir mencipta sejarah mara ke peringkat lima terbaik dalam aksi match play di Sun Valley Lanes, Nebraska pada penampilan sulungnya dalam kejohanan berprestij itu.
Gillian bagaimanapun terpaksa akur apabila dipintas dalam dua perlawanan terakhir oleh wakil Singapura, New Hui Fern yang kemudian muncul juara pertandingan itu dengan membawa pulang hadiah lumayan melebihi RM255,000.
Ketika dihubungi TVS, Gillian yang juga bekas Juara Terbuka Antarabangsa Malaysia berkata, dia berpuas hati dengan prestasinya sepanjang kejohanan dan berikrar akan kembali pada tahun depan.
“Sejak beberapa hari lepas, saya telah memberikan segalanya dalam pertandingan ini yang sememangnya sangat mencabar mental dan fizikal tetapi saya berbangga kerana mampu bertahan dan kekal fokus.
“Menamatkan cabaran di tangga ketujuh pada kali pertama menyertai Terbuka AS merupakan momen yang istimewa bagi saya,” katanya.
Selepas ini Gillian memaklumkan dia dijadual menyertai Terbuka Antarabangsa Thailand 2025 di Bangkok, Thailand selain berharap akan terpilih membawa cabaran negara pada Kejohanan Dunia IBF di Hong Kong pada November.
Seorang lagi wakil negara yang beraksi pada peringkat match play, Natasha Roslan menamatkan saingan di tempat ke-14 serta membawa pulang hadiah lebih RM23,000. -TVS.