KUCHING, 18 Jun: Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa Kedua 2026–2030 akan memberi tumpuan kepada tiga bidang keutamaan utama yakni peralihan tenaga bersih, keterjaminan tenaga dan integrasi tenaga serantau sebagai kesinambungan kepada pelan terdahulu.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata perkara itu merupakan antara konsensus penting yang dicapai dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 (SOME-43) pada hari kedua, semalam.
“Negara-negara ASEAN telah bersetuju secara konsensus untuk memuktamadkan APAEC Fasa Kedua yang akan menjadi asas hala tuju tenaga rantau ini bagi lima tahun akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain APAEC, satu lagi pencapaian utama ialah kesepakatan untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN (APG) Dipertingkatkan.
“MoU ini akan menjadi dokumen dasar pelaksanaan inisiatif APG dan dijangka ditandatangani oleh negara anggota semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) di Kuala Lumpur pada Oktober nanti,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kemajuan penting turut direkodkan sepanjang mesyuarat ini termasuk:
-
Pemuktamadan terma rujukan pembangunan kabel dasar laut dan mekanisme pembiayaan bagi APG
-
Penandatanganan Perjanjian Pengganti Keselamatan Petroleum ASEAN
-
Pelancaran Platform Data Kecekapan Tenaga dan Pelaburan Bangunan ASEAN
-
Pemuktamadan penyediaan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu
-
Pembangunan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Baharu ASEAN
-
Pembangunan awal Rangka Kerja Penempatan Loji Kuasa Nuklear
“Persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat peringkat pegawai kanan ini akan membolehkan tindakan susulan dilakukan bagi memastikan semua bidang keutamaan tahunan yang ditetapkan dicapai dan diterima semasa mesyuarat peringkat menteri-menteri tenaga di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2025,” jelas Mad Zaidi.