FILIPINA menyatakan komitmen penuh untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun 2026 dengan tekad untuk meneruskan kesinambungan inisiatif yang digerakkan Malaysia pada tahun ini, khususnya dalam memperkukuh projek Grid Kuasa ASEAN sebagai tulang belakang kerjasama tenaga serantau.
Timbalan Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Felix William Fuentebella berkata, projek grid tenaga serantau ini bukan sahaja penting dari segi penyambungan infrastruktur antara negara anggota, malah mesti direka bentuk agar kukuh, tahan lasak dan mampu beroperasi dalam pelbagai situasi.
“Filipina mengalami cabaran bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan taufan yang juga dialami oleh negara-negara ASEAN lain.
“Oleh itu, grid tenaga serantau mesti fleksibel, mampu berfungsi secara keseluruhan mahupun secara segmen secara bersendirian,” ujarnya.
Beliau menggunakan analogi “Voltron” sebuah robot gergasi yang boleh beroperasi sebagai satu entiti atau berpecah menjadi beberapa bahagian kecil untuk menggambarkan visi grid yang boleh berfungsi sebagai satu rangkaian besar tetapi juga mampu beroperasi sebagai grid ‘pulau’ yang berdikari jika diperlukan.
Filipina juga menekankan keperluan memperbanyakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan projek kecekapan tenaga, di samping melibatkan golongan muda dalam menyokong arah tuju tenaga bersih di bawah kepimpinan Malaysia kini dan seterusnya Filipina, Singapura dan Thailand.
Beliau menggambarkan kepimpinan ASEAN seperti burung dalam formasi “V terbang” (flying V), iaitu Malaysia kini memimpin dengan usaha besar manakala negara lain mengikuti dengan tenaga lebih sedikit.
Ketika giliran Filipina mengambil alih kepimpinan, Malaysia pula akan sedikit berehat, manakala Filipina akan menghadapi cabaran dan tekanan dalam menerajui agenda serantau.
Selepas itu, kepimpinan akan bertukar kepada Singapura, Thailand dan lain-lain secara bergilir.
“Kerjasama erat ini bertujuan untuk merealisasikan “modal politik dan modal ekonomi” bersama, dengan sokongan padu daripada semua negara anggota ASEAN.
“Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) juga dilihat sebagai kunci memperkukuh grid tenaga ASEAN agar lebih cekap dan tahan lasak,” katanya.
Perdagangan Tenaga Rentas Sempadan
Perdagangan tenaga elektrik antara negara serantau amat penting bagi keterjaminan tenaga jangka panjang Filipina, terutamanya dalam usaha negara menyahkarbon dan mempertingkatkan kecekapan tenaga.
“Sebelum ini, wilayah Mindanao tidak bersambung dengan grid utama Luzon dan Visayas menyebabkan lebihan tenaga tidak dapat disalurkan ke kawasan lain yang memerlukan.
“Dengan integrasi grid, kecekapan dan fleksibiliti tenaga meningkat dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi serantau,” kata beliau.
Tambahnya, keluaran kasar dalam negara untuk ASEAN sebagai sebuah kumpulan merupakan salah satu terbesar.
“Seperti dibentangkan semasa mesyuarat (SOME 2025) ASEAN perlu mengekalkan pertumbuhan KDNK empat hingga lima peratus dan permintaan untuk tenaga semakin meningkat.
“Kita perlu bekerjasama sebagai sebuah pasukan untuk memastikan sumber asli untuk tenaga digunakan dengan baik yang boleh mendorong kepada pertumbuhan yang disasarkan,” ujarnya.
Komitmen dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga
Filipina menyatakan bahawa agenda tenaga sebagai pengerusi ASEAN 2026 sudah dirangka dan selaras dengan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) serta Pelan Tenaga Filipina sendiri.
Ujarnya, negara ini juga menyatakan mematuhi tanggungjawab bukan sahaja kepada rakyatnya, malah kepada ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
“Filipina juga aktif dalam kerjasama yang lebih luas menerusi ‘ASEAN Plus Three’ serta ‘ASEAN Plus Plus’ dan sebagainya untuk menjalin kerjasama dengan negara luar bagi memastikan tanggungjawab bersama dalam melestarikan planet bumi,” katanya.-TVS