PERAI, 17 Jun: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas 9,053 kotak mercun bernilai lebih RM8.1 juta selepas melakukan serbuan ke atas sebuah gudang di kawasan perindustrian di sini hari ini.
Operasi oleh Cawangan Task Force Kompeni C, Batalion 1 PGA, Bukit Kayu Hitam, Kedah itu turut berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan semasa serbuan.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Shahrum Hashim berkata, pihaknya mendapati mercun berkenaan diperolehi dari Pelabuhan Klang, Selangor bagi dipasarkan ke kawasan Utara Semenanjung Malaysia.
“Pasukan serbuan berjaya mengesan gudang itu yang menyimpan mercun tanpa permit sah dan telah mencegah aktiviti penyimpanan semua bekalan mercun tersebut secara tidak selamat.
“Ia membabitkan 9,053 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM8,158,714 yang disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu, ujar Shahrum, Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan pengawasan dan rondaan di sekitar negeri ini, Perak dan Kedah bagi mengekang sebarang akitivti yang menyalahi undang-undang. – TVS