LAWAS, 17 Jun: Tiga blok rumah pekerja di Jalan Trusan di sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Awang Adani Damit, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.49 tengah hari, sebelum menggerakkan seramai 12 anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan tiga blok rumah pekerja jenis struktur tidak kekal yang telah musnah sepenuhnya.
“Blok pertama merupakan bangunan dua tingkat dengan 20 pintu, manakala blok kedua dan ketiga masing-masing setingkat dengan 10 pintu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dan empat pancutan air dengan teknik pemadaman secara defensif bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
Tambah beliau, kerja-kerja overhaul turut dilakukan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Kesemua penghuni dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya lagi.
Nilai kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. -TVS