KUALA LUMPUR, 17 Jun: Datuk Seri Anwar meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus mengadakan libat urus bersama fasiliti kesihatan swasta supaya menerima Penguatkuasaan bagi ubat-ubatan di bawah Akta Farmasi 2013 (Akta 723) yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Mei lepas.
Jelas Perdana Menteri, insiatif yang dibangunkan oleh KKM itu bertujuan untuk melindungi kewangan pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta.
Kata Anwar, dasar itu bertujuan untuk menggalakkan persaingan sihat dan membantu mengurangkan perbelanjaan pesakit namun telah menjadi kontroversi.
“(Walaubagaimanapun) saya berharap kita boleh menyelesaikannya melalui sesi libat urus yang lebih mendalam.
“Apa yang kita lakukan hanyalah untuk memaklumkan dan memastikan mereka mengetahui mengenai harga yang perlu dibayar. Itu sahaja. Saya dapati agak sukar untuk menjelaskan perkara ini kerana wujud banyak rasa tidak puas hati.
“Ada yang berpendapat bahawa kerajaan terlalu autokratik dalam menentukan harga. Tidak betul, kerana kita mahu mempamerkan harga ubat supaya rakyat sendiri boleh membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Sosial (ISWC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan dalam hal itu pada akhirnya bertujuan mencapai pembaharuan sistem kesihatan yang berkekalan.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan usaha kerajaan sahaja tidak memadai dengan menekankan pentingnya kerjasama institusi awam dengan pelabur strategik untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan arahan itu sebagai tidak praktikal kerana harga ubat kerap berubah bergantung kepada kos pembekalan dan faktor pasaran. – TVS.