KUALA LUMPUR, 17 Jun: Polis mengesahkan dua maut dalam kejadian tembakan di sebuah kedai serbaneka di ibu negara awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an maut di lokasi kejadian selepas terkena tembakan daripada suspek.
“Pada sekitar jam 12:48 malam, satu laporan polis telah diterima mengenai kejadian kes tembak di hadapan kedai serbaneka Viva, Home di Cheras, Kuala Lumpur oleh sekumpulan lelaki bertopeng ‘ski mask’ yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek terlibat dan motif kejadian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi talian hotline polis Cheras di talian 03-92845050/501, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana polis yang berdekatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sejak pagi tadi, tular di laman media sosial memaparkan sekumpulan lelaki melepaskan tembakan yang dipercayai mengenai dua mangsa. – TVS