KUALA LUMPUR, 17 Jun: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengakui peperangan yang tercetus membabitkan Israel dengan Iran telah memberi kesan nyata terhadap pengoperasian syarikat.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, ini termasuk lonjakan ketara terhadap permintaan bekalan yang meningkat kepada 65 hingga 75 juta tong minyak setiap jam.
Kata beliau, PETRONAS sedang memantau rapat perkembangan itu susulan ketegangan yang semakin memuncak di Selat Hormuz.
“Pemain industri (minyak) tidak tenang. Fenomena ini (bagi kami umpama itik yang sedang berenang) dengan pantas.
“Kami sedang memantau perkembangan semasa dengan sangat teliti,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Mengulas situasi ketika persidangan, Tengku Muhammad Taufik berkongsi beberapa pemimpin industri minyak yang hadir seolah – olah ‘tidak tenang’ apabila mereka ‘keluar masuk’ dewan seminar.
Jelasnya ini berikutan kerisauan mengenai operasi syarikat masing – masing di rantau itu yang sangat berisiko ketika.
Menurut beliau, PETRONAS turut terlibat secara langsung dalam operasi tenaga di Iraq dan mempunyai kakitangan yang berpangkalan di Abu Dhabi.
Sementara itu, beliau berkata syarikat berkenaan juga seharusnya lebih bersedia dan memahami kepentingan bekalan sekiranya berlaku krisis yang mencetuskan impak besar kepada keseluruhan sistem.
“Ini mungkin ujian untuk industri. Kita secara tidak sedar cenderung untuk mengekalkan kitaran turun naik, apabila bekalan dilihat mencukupi, kita beranggapan semuanya baik dan tidak perlu berbelanja.
“Namun tiba-tiba, apabila permintaan melonjak semula, kita tergesa-gesa untuk memulihkan keadaan,” katanya. – TVS.