PUTATAN, 17 Jun: Dua rumah termasuk enam kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Bukit Vor di sini, tengah malam tadi.
Menurut Komander Operasi, Zainudin Saidi, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.59 tengah malam  dan tiba di lokasi pada jam 1.07 pagi.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 1.33 pagi sebelum ditamatkan kira-kira jam 5.27 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah, enam kenderaan turut terbakar iaitu Perodua Alza, Ford Fiesta dan dua buah motosikal musnah manakala sebuah Mercedes Benz terbakar 50 peratus dan sebuah Isuzu D-Max terbakar 15 peratus, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, menggunakan sumber air dari jentera bomba.
Seramai 29 anggota dari BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang terlibat dalam operasi tersebut dengan sokongan agensi lain seperti PDRM, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini. -TVS