KUCHING, 16 Jun: Pelaksanaan penuh Grid Tenaga ASEAN (APG) memerlukan komitmen politik lebih mantap, kerjasama teknikal mendalam dan strategi pelaburan bijak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ASEAN perlu menyelaraskan peraturan, mewujudkan pasaran tenaga terbuka dan telus serta memanfaatkan inovasi digital bagi merealisasikan perdagangan tenaga serantau secara masa nyata.
“Kita bukan sahaja memerlukan infrastruktur fizikal seperti kabel dan pencawang tetapi juga tadbir urus pintar, perkongsian data serta kepercayaan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Tenaga (SOME) ke-43, di sini, malam ini.
Beliau berkata, APG berpotensi menjadikan kepelbagaian negara ASEAN sebagai satu kekuatan di samping menyokong matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN yang saling berhubung, berdaya tahan dan mampan.
Menurutnya, kehadiran negara anggota dalam mesyuarat tersebut mencerminkan kekuatan perpaduan dan visi bersama ke arah masa depan lebih terhubung seperti digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045.
Fadillah turut menyatakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) APG yang dipertingkat dan pengesahan terma rujukan bagi rangka kerja pembangunan kabel kuasa dasar laut amat dinanti-nantikan.
“Kedua-dua pencapaian ini yang dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga (AMEM) ke-43 di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 akan menjadi pemangkin kepada integrasi tenaga serantau.
“Saya yakin dokumen ini bersama Rancangan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2026–2030 yang akan datang mampu mengukuhkan hubungan kuasa rentas sempadan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini,” ujarnya.-TVS