PUTATAN, 16 Jun: Lapan rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Petagas petang ini manakala seorang anggota bomba cedera semasa operasi dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima jam 4.00 petang dan jentera pertama tiba di lokasi 10 minit kemudian dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.55 petang.
“Kebakaran melibatkan lapan rumah bersaiz 40×40 kaki yang terbakar 100 peratus,” kata Komander Operasi PBK I Zainuddin Saidi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan.
Seramai 22 anggota dari empat balai iaitu Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran bersama lima jentera termasuk CFRT, FRT, LFRT dan dua tangki air dikerahkan ke lokasi.
Pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan dibantu sumber air dari jentera, tangki dan air terbuka.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka dan keadaan di lokasi terus dipantau pihak berkuasa. – TVS