KUCHING, 16 Jun: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak hari ini menerima kunjungan hormat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Ibu Pejabat JIM Sarawak.
Ketibaan rombongan diketuai Pengarah Bahagian Pengurusan Perubahan dan Latihan AKPS, Mulhizam Muhamad disambut oleh Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili serta barisan pengurusan kanan jabatan.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, sesi libat urus turut diadakan, memfokuskan perbincangan mengenai isu penjawatan, pengoperasian serta pengurusan aset di pintu-pintu masuk sempadan.
“Perbincangan ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua agensi dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara,” jelas kenyataan itu.
Rombongan AKPS turut dijadualkan mengadakan lawatan ke beberapa pintu masuk sempadan di Sarawak mulai hari ini hingga 27 Jun bagi menilai cabaran dan keperluan sebenar di lapangan.
Kerjasama erat tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan kawalan sempadan dan pengurusan sumber secara menyeluruh bagi menghadapi ancaman semasa. – TVS