KUALA LUMPUR, 16 Jun: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan Kementerian Ekonomi berikutan peletakan jawatan menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli daripada kabinet pada bulan lalu.
Perdana Menteri berkata pemilihan menteri baharu untuk menjalankan tugas tersebut akan diputuskan pada masa yang sesuai.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan dan perkhidmatan Rafizi sepanjang menggalas portfolio tersebut.
“Isu itu tidak berbangkit kerana yang menentukan (pelantikan) adalah saya dan Jemaah Menteri, saya fikir tiada keperluan untuk rombak apa-apa setakat ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Anwar ketika diminta mengulas status Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahad yang juga mengumumkan peletakan jawatan 28 Mei lalu berkata beliau memberi ruang kepada semua pihak untuk bertenang terlebih dahulu.
“Saya selalu tunggu, beri peluang, berfikir, bertenang dan saya beri pandangan kalau boleh teruskan berkhidmat,” ujarnya.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi yang mengumumkan peletakan jawatannya berkata, ia berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu telah dibuat kira-kira tiga jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun. – TVS