Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Membesarkan tiga anak autistik tanpa sokongan pasangan hidup bukanlah perjalanan yang mudah, namun itulah pemberian takdir kepada Suzana Ilias yang bergelar balu pada penghujung tahun lepas. Foto Bernama

Doa ibu tunggal, anak autistik berjaya khatam Al-Quran

ByBernama

BIDOR, 16 Jun: Membesarkan tiga anak autistik tanpa sokongan pasangan hidup bukanlah perjalanan yang mudah, namun itulah pemberian takdir kepada Suzana Ilias yang bergelar balu pada penghujung tahun lepas.

Pada usia 53 tahun, wanita itu menggalas tanggungjawab menjaga tiga anak istimewa – Muhammad Khir Khairul Nizam, 29; Nur Fatimah, 28; dan Nurul Asyikin, 25 – yang masing-masing mengalami autisme tahap dua dan memerlukan pemantauan serta bantuan sepenuh masa dalam menjalani kehidupan harian.

Di sebalik segala cabaran dihadapi, Suzana bersyukur anak sulungnya berjaya khatam al-Quran dan menganggapnya sebagai pencapaian luar biasa memandangkan Muhammad Khir sering bergelut untuk memberi tumpuan secara konsisten.

“Inilah keajaibannya, meskipun tidak mampu memberi fokus dan respons secara spontan ketika bertutur, Muhammad Khir dapat menguasai kalam suci anugerah Illahi ini dengan baik. Saya amat bersyukur, ini hasil usaha arwah suami yang membiasakan si abang dengan al-Quran sejak kecil,” katanya kepada Bernama.

Suzana berkata walaupun kini dia bersendirian, anak sulungnya itu menjadi teman setia yang sering menegur bacaannya setiap kali mereka mengaji bersama-sama.

“Kalau kita betul-betul mahu (anak autistik mampu membaca al-Quran), kita usahakan dan doakan. Insya-Allah, urusan akan dipermudahkan,” katanya sambil menambah keadaan anak-anak bukan penghalang untuknya mengenal potensi mereka.

Selain boleh mengaji, Suzana berkata Muhammad Khir juga boleh menerima arahan serta mampu membaca dan mengira, selain gemar membantunya memasak.

“Anak kedua, Nur Fatimah, seorang yang sangat ringan tulang dan suka melipat kain walaupun dengan caranya sendiri, manakala si bongsu, Nurul Asyikin, seorang yang ceria, aktif dan gemar menyanyi, menjadi penghibur dalam keluarga kecil kami,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya yang berubah 180 darjah selepas pemergian suami tercinta pada penghujung tahun lepas, suri rumah sepenuh masa itu terpaksa mengambil alih tugas menjadi ketua keluarga dalam sekelip mata.

“Selepas pemergian arwah suami, kehidupan kami jadi sedikit kucar-kacir. Saya benar-benar hilang arah kerana selama ini semua urusan seperti bayaran bil, bank dan sebagainya diuruskan oleh suami,” katanya yang tidak dapat bekerja demi menjaga anak-anak istimewa itu.

Suzana berkata keluarganya kini hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami untuk menampung keperluan harian serta penjagaan dan rawatan anak-anak.

“Pendapatan itu memang tidak mencukupi, tetapi saya bersyukur anak-anak tidak memilih makanan. Apa saja yang saya masak, itulah yang mereka makan,” katanya.

Wanita itu berkata ketiga-tiga anaknya juga pernah menjalani sesi pendidikan di Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang menurutnya sangat membantu dari segi perkembangan sosial dan kendiri mereka.

“Saya berdoa agar Allah hadirkan keajaiban buat anak-anak saya. Selagi hayat masih ada, saya akan terus berjuang untuk mereka,” katanya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan