SARIKEI, 15 Jun: Pendidikan bahasa ibunda, khususnya bahasa Cina perlu terus diperkasakan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia bagi memastikan warisan budaya terus terpelihara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penganjuran program berkaitan bahasa seperti pertandingan pidato dan kaligrafi mampu meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar serta membina keyakinan diri mereka.
Menurut beliau, keupayaan pelajar untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan merupakan satu kelebihan penting dalam dunia hari ini, selain memperkukuh jati diri dan kecintaan terhadap bahasa ibunda.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah memberi ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dan belajar daripada satu sama lain,” katanya ketika menghadiri Pertandingan Pidato dan Kaligrafi Peringkat Bahagian Sarikei, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa walaupun ada yang menang dan kalah dalam pertandingan, pengalaman yang diperoleh merupakan pembelajaran paling berharga untuk semua peserta.
“Saya berharap anda semua terus berusaha, bersemangat tinggi dalam menempuh cabaran serta menjadi tonggak harapan negara pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan kejayaan berterusan buat para pelajar dalam pelajaran serta berharap agar pendidikan Bahasa Cina akan terus berkembang dan mencapai kejayaan lebih cemerlang.
Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran pertandingan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok merangkap Ahli Parlimen Sarikei turut menyumbang sebanyak RM10,000.-TVS