BETONG, 15 Jun: Vaksinasi, pemakaian mikrocip dan perlesenan anjing adalah langkah penting ke arah mewujudkan komuniti yang lebih selamat, sihat dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan haiwan peliharaan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri berkata, program seperti yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Betong (MDB) dengan kerjasama Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong merupakan inisiatif proaktif membendung penularan wabak rabies serta penyakit berbahaya lain.
“Rabies bukan sahaja mengancam haiwan peliharaan, malah memberi risiko besar kepada manusia, terutamanya kanak-kanak. Haiwan yang tidak divaksin berisiko tinggi menjadi pembawa virus ini dan gigitan atau cakaran daripada haiwan yang dijangkiti boleh mengakibatkan jangkitan serius,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing di pekarangan parkir Majlis Daerah Betong (MDB) pada Ahad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan program berkenaan yang meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rabies.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat khususnya MDB dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong atas penganjuran program yang memberi impak besar kepada kesedaran masyarakat mengenai bahaya rabies dan tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan,” ujarnya. – TVS