MUKAH, 15 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine meminta agar disegerakan proses penyerahan Kompleks Sukan Komuniti (KSK) Mukah daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, jika proses ini dapat diselesaikan dengan segera, kemudahan KSK akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sekitarnya.
“Kami berharap agar segala isu yang dihadapi oleh kedua-dua pihak, baik dari peringkat persekutuan maupun negeri dapat diselesaikan tanpa berlengah. Adalah lebih baik kemudahan ini rosak setelah digunakan berbanding ia rosak sekiranya tidak digunakan sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) Mukah 2025 yang berlangsung di KSK Mukah pada Sabtu.
Sehubungan itu katanya, pelbagai aktiviti sukan boleh dianjurkan menggunakan kemudahan KSK seperti bola jaring, bola keranjang, futsal, sepak takraw, badminton dan sebagainya.
“Pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh menggunakan kemudahan ini untuk penganjuran sukan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pasukan PMU Riftborn telah menjuarai pertandingan dengan mengalah pasukan D’Gegar untuk tempat kedua, tempat ketiga bersama telah dimenangi oleh pasukan MK Shot dan Netvengers.
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Royston dan beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan bola jaring yang terlibat dalam memeriahkan LSK Mukah 2025.
Sehubungan itu, beliau turut memuji usaha Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah selaku penganjur bagi pertandingan ini.
Pada tahun ini sebanyak sembilan pasukan bola jaring, 16 penyertaan untuk sepak takraw dan tujuh ping pong berpasukan campuran menyertai LSK Mukah 2025.-TVS