KOTA BELUD, 15 Jun: Penduduk luar bandar di sekitar Kuala Abai bakal menikmati kemudahan pengisian bahan api lebih mudah dan selamat apabila Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) memulakan operasi di kawasan itu bermula 21 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif ROVR merupakan langkah strategik untuk memperluaskan akses kepada bekalan petrol RON95 bagi komuniti luar bandar dan pedalaman.
“ROVR bukan sekadar penyelesaian logistik tetapi satu keperluan penting bagi penduduk luar bandar mendapatkan bekalan bahan api dengan lebih mudah dan dekat,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak semalam.
Kuala Abai bakal menjadi lokasi kelapan perkhidmatan tersebut selepas tujuh unit sedia ada di Sabah dan Sarawak iaitu satu di Beaufort dan enam di Sarawak.
Sejak diperkenalkan pada 2018, ROVR mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api dan terbukti membantu rakyat termasuk ketika pandemik dan bencana.
Menurut Armizan, komuniti nelayan merupakan antara pengguna utama perkhidmatan tersebut dan operasi di Kuala Abai akan dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud.
“Dengan adanya ROVR, nelayan tidak lagi perlu berulang-alik jauh ke stesen minyak sekali gus menjimatkan masa dan kos operasi harian,” ujarnya.
Antara kampung yang akan menerima manfaat termasuk Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.
Armizan berkata, komitmen KPDN untuk memastikan petrol RON95 pada harga runcit terkawal terus sampai kepada rakyat tanpa mengira lokasi geografi sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa keadilan tenaga dan mengurangkan kos sara hidup luar bandar.-TVS