KUALA LUMPUR, 14 Jun: Koperal Ishak Hidayat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul sebagai Juara Antara Juara (Champion of Champions, COC) dalam Kejuaraan Mr Daily Bekal 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley, malam ini.
Selain gelaran utama, Ishak turut menjuarai kategori Bina Badan Lelaki Atas 80kg sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta trofi.
Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi rekod cemerlangnya selepas meraih gelaran COC dalam Mr Keling Borneo International 2025 yang berlangsung di Kota Samarahan pada 17 Mei lalu.
Ishak akan mewakili Malaysia dalam Kejohanan Asia Bodybuilding Championship yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada Ogos nanti.
Mr Daily Bekal 2025 merupakan sebahagian daripada Malaysia Sport and Leisure Expo 2025, acara berkonsepkan sukan dan gaya hidup yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif melibatkan semua peringkat umur.
Ekspo berlangsung secara percuma dari 13 hingga 15 Jun bermula jam 10 pagi hingga 6 petang di Mid Valley, Kuala Lumpur.
Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan pickleball, tenis, dan angkat berat selain berinteraksi bersama pempengaruh kecergasan terkenal seperti Jordan Yeoh dalam sesi senaman berkumpulan.-TVS