KUALA LUMPUR, 14 Jun: Acara Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 yang bakal berlangsung buat julung kalinya di Semenanjung Malaysia pada 28 Jun ini dijangka menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Pengerusi Penganjur, Michael Oridecth Dures berkata, program Ngiling Bidai atau acara menggulung tikar selepas perayaan Gawai ini menjadi platform penting dalam memupuk kefahaman antara masyarakat majmuk di Malaysia.
“Ramai di Semenanjung termasuk warga asing kurang mengetahui atau kurang fasih tentang kepelbagaian etnik di Sarawak. Maka, acara ini adalah usaha kami untuk memperkenalkan dan mempromosikan kekayaan budaya tersebut,” katanya pada sidang media Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 di Shah Alam, hari ini.
Acara tersebut dianjurkan oleh MOD Solutions Enterprise dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Michael, penganjuran Ngiling Bidai turut menyokong Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 seiring usaha kerajaan negeri untuk menonjolkan keunikan dan kekayaan warisan budaya tempatan.
“Ini adalah peluang yang baik untuk rakyat Selangor bersama-sama menyertai kami dalam acara ini. Kami turut mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat, termasuk warga Sarawak dan Sabah yang menetap di Semenanjung,” ujarnya.
Bertemakan “Merayakan Budaya, Menyatukan Komuniti”, acara tersebut akan berlangsung di D’Network @ Setia Eco Lake, Shah Alam, dan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan tradisional, pameran kraftangan, serta sajian makanan etnik masyarakat Dayak. – TVS