SERIAN, 14 Jun: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kereta yang mereka naiki terbalik dalam kemalangan kendiri di Jalan Telagus menghala ke Kuching, petang tadi.
Komander Operasi, Rosnani Malong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.20 petang sebelum menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kereta terlibat dalam kemalangan kendiri dan terbalik.
“Pemandu lelaki berusia 32 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba. Mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penumpang wanita dikenali sebagai Nurfariedatul Syahida Hamri, 30, ditemui tidak sedarkan diri dan masih berada di dalam kenderaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan,” ujarnya
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – TVS