Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Semua pihak digesa beri kerjasama lengkapkan banci Malaysia 2020

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

PADAWAN, Sept 17 : Jabatan Perangkaan Malaysia memohon kerjasama semua pihak untuk membantu usaha kerajaan dalam melengkapkan Banci Malaysia 2020 secara bersasar bermula 16 Ogos sehingga 31 Oktober 2021.

Ketua Penolong Pengarah Perangkaan Surhardi Bin Omar berkata sehingga 15 September 2021 sebanyak 26.3 juta penduduk Malaysia telah dibanci atau 80.7 peratus berbanding anggaran penduduk tahun 2020 seramai 32.7 juta.

Katanya, bagi Sarawak, seramai 1.76 juta penduduk telah dibanci iaitu 62.5 peratus berbanding anggaran 2.82 juta penduduk.dengan hampir separuh penduduk masih belum dibanci.

“Oleh itu saya memohon rakyat memberikan kerjasama,”

“Tempoh Banci 2020 sudah hampir tamat dan kita perlu melengkapkannya dengan sempurna,” katanya.

Jelasnya, proses bancian yang sepatutnya selesai melalui temuramah secara bersemuka di lapangan telah ditangguhkan pada 20 Mei 2021 akibat penularan semula kes COVID-19.

“Kita mengambil berat soal ini kerana data yang dikumpul ini bakal digunakan untuk perancangan setiap tempat, daerah dan negeri dan penggubalan dasar,”katanya kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Perjumpaan antara Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang bagi membincangkan cadangan untuk mendapatkan kerjasama penduduk memberi maklumbalas untuk menyelesaikan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Sarawak.

Sehubungan dengan itu, pihak DOSM Sarawak telah mendapat kebenaran pihak SDMC untuk melakukan kerja pembancian di lapangan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Kerja pembancian yang sedang dilaksanakan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dua lapis dan menjaga penjarakan sosial,”

Pada masa yang sama, beliau juga memberi pilihan bagi yang risau untuk melakukan proses pembancian berikutan peningkatan kes COVID-19 boleh menggunakan kaedah pembancian online atau eCensus.

“Kaedah pembancian ini tidak memerlukan proses pembancian secara bersemuka dan hanya perlu menjawab soal selidik secara dalam talian sahaja,” jelasnya.

Selain itu, kaedah Drop-Off & Pick Up juga (DOPU) juga disediakan untuk mengurangkan perjumpaan secara fizikal.

“Kaedah ini pembanci akan meninggalkan borang soal selidik (drop off) pada hari pembancian dan pembanci akan mengambil semua borang soal selidik (pick-up) yang telah diisi oleh responden,”

“Pelaksanaan mod pembancian ini adalah fleksibel bagi kawasan bandar dan luar bandar dengan mengambil kira kemudahan sedia ada di kawasan berkenaan,”

Beliau berkata, menerusi data bancian yang dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 itu,  data diperoleh dapat membantu negara menyediakan kemudahan dan perkhidmatan digunakan secara bersama seperti jalan raya, utiliti dan perkhidmatan keselamatan seperti bomba dan polis.

Jelasnya lagi, maklumat itu juga dapat membantu menyediakan perancangan jangka panjang peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat bagi memastikan tiada penduduk yang tertinggal dalam arus pembangunan dan teknologi termasuk di luar bandar.

Justeru, beliau berharap penduduk Malaysia tanpa mengira kaum dan status pendapatan, dapat memberi maklumat bancian dengan tepat dan ikhlas bagi memastikan generasi akan datang dapat memperoleh manfaat yang lebih tuntas dan tersusun, sekali gus memberi faedah kepada mereka.

“Penekanan diberikan kepada kawasan-kawasan yang mempunyai status vaksinasi yang tinggi dan bilangan kes aktif yang rendah serta operasi pembancian bersemuka tidak akan melibatkan kawasan yang masih berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujarnya.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian Bilik Gerakan Banci Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak 082-203994/ 082-230604 (8.00 Pagi – 1.00 Tengah hari)

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan