KUCHING, 14 Jun: Tindakan pantas pekerja berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di sebuah stor kilang kertas di Jalan Dermaga, Kawasan Perindustrian Pending, di sini hari ini.
Komander Operasi, Tahir Tuah berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 9.42 pagi, sebelum mengerahkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan BBP Padungan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan kertas yang telah diproses dan disimpan dalam sebuah stor. Kira-kira 20 peratus daripada stor berkenaan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pekerja kilang berjaya memadamkan kebakaran awal menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering, sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula yang disambungkan dari jentera bomba, serta melaksanakan kerja overhaul untuk memastikan api benar-benar padam dan tiada risiko nyalaan semula.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, anggota bomba berangkat pulang ke balai,” ujarnya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. – TVS