BINTANGOR: Sembilan individu masing-masing berusia antara 50 hingga 70 tahun dikenakan kompaun akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Bintangor, pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, kesemua mereka didapati berkumpul dalam satu premis di Jalan Whaft ketika operasi pemantauan dilakukan pada hari kejadian.
“Semasa serbuan dibuat seramai sembilan orang kena kompaun berada di dalam premis salon gunting rambut yang mana pemilik premis berkenaan gagal untuk menghadkan bilangan pelanggan dan ini secara tidak langsung menyukarkan penjarakan sosial dibuat di kawasan atau premis berkenaan.” katanya ketika dihubungi TVS pada Jumaat.
Ujarnya lagi, kesemua mereka diingatkan agar menjelaskan kompaun berkenaan dalam tempoh 14 hari.
Setakat hari ini, IPD Meradong telah mengeluarkan sebanyak 60 kompaun sejak Januari lalu atas pelbagai kesalahan berkaitan pelanggaran SOP.
Sehubungan itu, penduduk Meradong dinasihati agar terus mematuhi garisan panduan (SOP) yang ditetapkan demi membendung penularan COVID-19.
Tambahnya, semua pihak perlu berwaspada kerana ketika ini, negara belum bebas daripada wabak berkenaan.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak polis khususnya pihak penguasaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun kepada yang didapati bersalah.” katanya lagi.