MIRI, 14 Jun: Pertandingan Miss Gawai Sarawak kembali mewarnai sambutan Gawai selepas sekian lama tidak dianjurkan dengan edisi 2025 berlangsung meriah di Dewan FORUM Miri, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menyifatkan penganjuran tersebut sebagai bukti komitmen tinggi Jawatankuasa Karnival Gawai Tradisi 2025 dalam memartabatkan budaya.
“Menganjurkan acara berskala negeri bukanlah tugas mudah. Namun, berkat kesungguhan semua pihak, pertandingan ini berjaya diadakan semula,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut.
Beliau berkata program tersebut bukan sahaja memperkukuh warisan budaya malah menjadi wadah untuk mempererat perpaduan rakyat.
“Gawai perlu menjadi platform menyatukan masyarakat. Sarawak memerlukan rakyatnya terus bersatu, bekerjasama dan menyokong usaha pembangunan,” ujarnya.
Miss Gawai Sarawak 2025 dimenangi oleh Daphne Baun David diikuti Olvin Alexandra Moses sebagai naib juara dan Mimi Wimplinger di tempat ketiga. – TVS