MIRI, 13 Jun: Pihak bomba melakukan khidmat khas membantu seorang kanak-kanak perempuan yang terkunci di dalam kereta ketika parkir di Shell Kuala Baram di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 12.10 tengah hari dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati seorang kanak-kanak perempuan terkunci di dalam sebuah kereta Alza di stesen pengisian minyak.
“Pihak bomba menjalankan operasi membuka bahagian tingkap kereta dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.
Operasi penyelamatan itu dijalankan sekitar lima minit sebelum pintu kenderaan berjaya dibuka.
Kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan secara normal dari pintu yang berjaya dibuka dalam keadaan baik dan selamat. – TVS