KUCHING, 12 Jun: Status Ramadhan Saifullah sebagai pemain pinjaman kini berakhir apabila Kuching City FC hari ini mengesahkan perpindahan tetap bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ke skuad The Cats.
Perkara itu diumumkan menerusi hantaran rasmi di laman Facebook kelab, yang turut menzahirkan penghargaan dan harapan tinggi terhadap pemain berusia 24 tahun itu.
“Semoga Ramadhan terus menyinar dan melakar lebih banyak kejayaan bersama Kuching City FC,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod, Ramadhan dipinjamkan dari JDT musim lalu dan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Liga Super 2024.
Beliau menjadi antara tonggak utama dalam barisan tengah Kuching City, dengan sumbangan konsisten yang membantu pasukan mengekalkan kedudukan kompetitif dalam liga.
Perpindahan tetap ini dijangka memperkukuh jentera serangan dan kreativiti pasukan kendalian jurulatih, Aidil Sharin Sahak menjelang baki saingan musim ini. – TVS