Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 16 Ogos -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sambutan Hari Malaysia lebih bermakna, Sarawak terima semula hak terhakis

KUCHING , 15 Sept : Sambutan Hari Malaysia yang ke-58 pada tahun ini disambut dengan lebih bermakna oleh Sarawak kerana berjaya mendapatkan semula hak-haknya yang telah ‘terhakis’ secara sengaja atau tidak sengaja menerusi meja rundingan berdasarkan konsep Keluarga Malaysia.

Berkongsi butiran kejayaan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rundingan secara berterusan yang dilakukan dengan Kerajaan Persekutuan sejak 2015 telah mula membuahkan hasil apabila Sarawak kini menikmati serta menguruskan hasil buminya sendiri membabitkan royalti minyak dan pembayaran tunai , pengedaran gas dan pengurusan alam sekitar.

” Pada masa sama , kerajaan negeri juga berjaya mengemukakan perbincangan untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak telah mengemukakan ulasan bertulis pada 30 Mac 2021 manakala Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan ulasan pada 2 April 2021 kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah berhubung cadangan pindaan kepada perkara 1(2) dan perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri di sini malam ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Mengulas lanjut mengenai royalti minyak dan pembayaran tunai, Abang Johari berkata, pada 2019, sebuah Jawatankuasa Bersama antara Kerajaan Persekutuan, Negeri Sarawak dan Negeri Sabah telah ditubuhkan dan  dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Kerja Raya bagi membincangkan tuntutan oleh dua negeri berkenaan melalui penyelesaian komersial tanpa perlu melalui proses perundangan.

 ” Setelah setahun rundingan aktif antara Negeri dan PETRONAS, pada 7 Disember 2020, Perjanjian Penyelesaian Komersial telah ditandatangani antara Sarawak dan PETRONAS. Sehingga kini, terma dan syarat Perjanjian telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak di mana hak Sarawak dalam industri minyak dan gas di daratan dan luar pantai Sarawak diambil kira,” katanya.

Abang Johari seterusnya turut berkongsi perkembangan pengedaran gas yang mana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan permohonan Sarawak untuk dikecualikan daripada keperluan untuk mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] dan pelesenan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi menjalankan aktiviti pengedaran gas di Sarawak.

“Mengenai alam sekitar pula, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju secara prinsip berhubung permohonan kita supaya diberi kuasa penguatkuasaan seperti yang terkandung dalam Akta Kawalan Kualiti Alam Sekitar (1974) kepada pegawai-pegawai Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) yang mengoperasikan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019,” ujarnya.

Dalam soal kebebasan beragam pula katanya, Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada selangkah di hadapan dengan pelaksanaan inisiatif di bawah UNIFOR yang telah menghulurkan bantuan yang besar kepada agama-agama bukan Islam di negeri ini. 

” Semenjak 2017 , Kerajaan GPS telah menyumbangkan sebanyak RM165 juta untuk pembinaan rumah-rumah ibadah agama lain di negeri ini dan tidak termasuk RM15 juta untuk pengurusan dan operasi sekolah-sekolah mubaligh, RM70 juta untuk Ibu Pejabat UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee dan RM5 juta pada tahun ini untuk pengurusan rumah-rumah ibadah yang terkesan oleh pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan , Kerajaan GPS tidak hanya menolak unsur-unsur yang bercanggah dengan jaminan kebebasan agama yang banyak dipolemikkan kebelakangan ini dan berikrar akan terus memastikan kebajikan agama-agama lain sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, Abang Johari turut menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia memahami signifikan tarikh 16 September dalam lipatan sejarah negara.

” Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan tarikh ini sebagai cuti umum untuk memperingati penubuhan Malaysia dan saya amat berharap langkah ini akan mendorong seluruh rakyat negara ini untuk memahami dan menghayati signifikan tarikh keramat tersebut,” katanya.

Ujar beliau, kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus didasarkan kepada semangat hormat-menghormati sambil mengenali hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Suruhanjaya Cobbold. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan