JERTIH, 12 Jun: Sebuah lori membawa muatan barangan peribadi milik 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi dekat Tasik Banding, di Gerik, Perak baru-baru ini, selamat tiba di Masjid Hadhari di sini pagi tadi.
Ketua misi Prof Dr Mohd Azlan Nafiah berkata sejurus lori milik UPSI itu tiba pada 10.30 pagi tadi, barangan peribadi milik mangsa terus diserahkan kepada waris yang sedia menanti di pekarangan masjid.
“Barang yang dibawa terdiri daripada barangan peribadi seperti pakaian yang diambil di bilik penginapan di lima kolej (asrama) kediaman universiti, empat buah motosikal yang digunakan pelajar semasa di kampus, komputer riba dan buku nota,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Hadhari pagi ini.
Mohd Azlan berkata misi tersebut diuruskan Pusat Tranformasi Komuniti UPSI dan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UPSI.
Beliau berkata bagi keluarga yang tidak dapat hadir ke masjid, pihaknya telah menghantar sendiri barangan mangsa kepada ahli keluarga di rumah mereka.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Sementara itu ketika ditemui di Kampung Bharu Tok Dor di sini, ibu kepada seorang daripada mangsa Norinda Kasim, 49, berkata perasaan rindu terhadap anaknya, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma semakin menebal apabila dia membuka beg bagasi milik anaknya dan terlihat sepasang baju blaus berwarna merah jambu yang sering dipakai arwah.
“Baju ini saya pun ada sepasang dengan corak yang sama tetapi baju saya warna biru, dia (arwah Nur Dalila Farhana) warna merah jambu. Masih ada bau dia yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila,” katanya sambil menangis dan memeluk serta mencium baju anak sulungnya itu.
Norinda berkata sejak pemergian anaknya, dia adakala terlupa bahawa anaknya telah tiada dan sentiasa merasakan Nur Dalila Farhana yang berusia 21 tahun sentiasa berada di rumah memerhatikannya seperti biasa.
Apatah lagi katanya meskipun merupakan anak sulung kepada tiga beradik, Nur Dalila Farhana sememangnya anak yang manja dan sentiasa bercerita pelbagai perkara termasuk kehidupan di universiti kepadanya. – TVS