Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) melihat bahan pameran semasa mengadakan lawatan ke reruai sempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama

Hari TVET Negara: Reruai aeroangkasa, penerbangan jadi tumpuan pengunjung

ByBernama

MELAKA, 12 Jun: Reruai bidang aeroangkasa dan penerbangan menjadi antara tumpuan para pengunjung pada sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang berlangsung sejak semalam.

Program selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu menyediakan lebih 20 reruai yang berkaitan dengan bidang berkenaan.

Selain itu, program berkenaan turut menarik minat mereka yang bukan daripada bidang berkaitan sains, kejuruteraan, dan teknologi.

Pengunjung Iqbal Ahmad Shukri, 20, mengakui reruai yang disediakan banyak memberi pendedahan dan membuka minda mengenai manfaat bidang TVET yang sebenarnya mempunyai pelbagai cabang dan laluan kepada sesiapa yang berminat.

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata biarpun bidang pengajiannya ialah kewangan dan perbankan Islam, namun menerusi reruai yang disediakan dapat menimba ilmu mengenai perubahan teknologi, terutamanya dalam bidang penerbangan.

“Simulasi menerbangkan pesawat memberi peluang kepada kami merasai pengalaman sebenar dan secara tidak langsung membuka minat orang ramai terhadap bidang itu.

“Ia bukan sahaja memberi maklumat bagaimana hendak menjadi juruterbang tetapi juga bidang-bidang lain yang berkaitan penerbangan yang mungkin selama ini langsung tidak pernah terfikir,” katanya kepada Bernama.

Rakannya Muhammad Ikmal Tamimi Jamaludin, 21, pula berkata program sebegini dilihat mampu membantu dalam bidang pengajian yang sedang diikutinya, iaitu Pengurusan Teknologi.

“Di sini saya lebih jelas mengenai hala tuju atau apa yang saya boleh dilakukan dengan kursus yang diambil.

“Saya lebih memahami apa yang sedang dipelajari memandangkan kursus saya turut mempelajari bidang elektrik, informasi maklumat, dan kejuruteraan yang berkait rapat dengan TVET,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pengambilan Pelajar Admal Aviation College Mohammad Rizal Zalkaply berkata program mega sebegini mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneroka peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sebelum ini mungkin asing bagi mereka.

“Seperti bidang penerbangan, ramai hendak menceburinya, namun kurang akses mengenainya serta wujud kebimbangan berkaitan kos yang perlu ditanggung sepanjang pengajian.

“Namun, dengan adanya program sebegini, ia dilihat platform terbaik dalam membuka minda pelajar terhadap pelbagai perkara yang mungkin sebelum ini tidak diketahui mereka.

“Bagi kami sebagai pempamer, inilah peluang untuk kita berkongsi sebanyak maklumat mengenai peluang-peluang yang boleh mereka terokai berlandaskan jurusan TVET,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan