LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei antara jutaan peminat yang menyaksikan perlawanan Malaysia-Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Selasa.
Beliau mengagumi kehebatan Harimau Malaya yang dibarisi lebih separuh pemain warisan dalam kesebelasan utama.
“Bangga dengan Harimau Malaya! Syabas atas kemenangan bergaya ke atas Vietnam,” ujar Chong Wei menerusi hantaran di media sosialnya.
“Anda semua benar-benar menunjukkan mutu, kualiti serta semangat juang yang tinggi,” katanya lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengucapkan tahniah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tulang belakang dan pencetus kepada kebangkitan Harimau Malaya.
“Tahniah diucapkan kepada jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Gegak gempita Ultras Malaya ditambah lagi sorakan padu 61,512 penyokong menjadi satu memori manis kepada rakyat Malaysia yang meraikan kejayaan ini.
“Terima kasih TMJ, Terima kasih PMX. Selamanya Harimau Malaya,” katanya di laman Facebook miliknya.
Kemenangan besar 4-0 cukup bersejarah bagi kita, maklumlah sudah terlalu lama tidak menikmati kemenangan seumpama ini.
Lagi pula ia dicatat ke atas pasukan ‘gergasi Asia Tenggara’, Vietnam (ranking 109 dunia), yang gagal ditumpaskan sepanjang sedekad terakhir ini.
Antara kemenangan terbesar skuad Malaysia, ialah ke atas Papua New Guinea (10-0) pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Jun 2023.
Dua lagi kemenangan besar ialah pada 1974, menang 11-0 ke atas Filipina dalam saingan Piala Asia di Tehran.
Malaysia turut membelasah Papua New Guinea 10-1 dalam saingan Kelayakan Sukan Olimpik 1976 di Jakarta.
Yang pasti, kemenangan 4-0 ke atas Vietnam malam kelmarin membuka peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Walaupun baru dua perlawanan, keputusan empat lagi aksi selepas ini boleh diramal.
Malaysia hanya perlu mengatasi Nepal, serta dua perlawanan menentang Laos dan mengelak tewas teruk kepada Vietnam dalam aksi kedua di Hanoi pada 31 Mac 2026.
Hanya dua calon berebut slot Piala Asia 2027 daripada Kumpulan F, Malaysia dan Vietnam.
Kini kelebihan berpihak kepada Malaysia.
Dengan kemenangan besar 4-0 pada aksi pertama, anak-anak buah Peter Cklamovski hanya perlu mengelak tewas dalam aksi kedua nanti.
Malah tewas sekalipun (jaringan tipis), Malaysia masih berpeluang cerah, dengan harapan meraih kemenangan ke atas Nepal dan Laos.
Ia bermakna ‘bola’ kini berada di gelanggang Malaysia.
Dalam erti kata mudah, Harimau Malaya kini sudah pun selangkah ke Piala Asia 2027. Ini juga bermakna Malaysia layak secara merit, sama seperti pada Piala Asia 2023.
Malaysia juga pernah layak pada 1976, 1980 dan 2007. Namun pada 2007, sebagai tuan rumah bersama.
Hakikatnya, skuad Malaysia pimpinan Cklamovski ini cukup agresif, bukan sekadar menyerang dari pelbagai arah, tetapi pantas merampas bola.
Bintang tempatan Arif Aiman, yang kelihatan mencari rentak pada awal saingan, akhirnya menemui sentuhan, melalui beberapa gerakan menarik, malah hampir pasti menjaringkan gol pembukaan pada babak pertama.
Yang pasti, beliau melakukan dua hantaran cantik yang menjelmakan jaringan pada babak kedua.
Jika sebelum ini Arif Aiman menjadi harapan untuk menjaringkan gol, tetapi kini tidak lagi, denga beberapa pemain warisan seperti, Figueiredo dan Holgado, berada di sisi, maka tugasnya lebih mudah, hanya membuka ruang dan melakukan hantaran.
Bagi Malaysia Piala Asia amat penting, bukan sekadar untuk membaiki ranking (bawah 100), tetapi juga untuk merintis laluan ke Piala Dunia 2030.
Malaysia kini menduduki ranking ke-126, setelah berada di tangga ke-131 sebelum ini.
Hakikatnya, Piala Asia 2027 menjadi pentas untuk Malaysia membuktikan, dengan melepasi saingan awal, mara ke pusingan kedua, cuba mengintai slot suku akhir dan seterusnya.
Apabila sudah dua kali layak ke Piala Asia (abad baharu) barulah kita memikirkan Piala Dunia.
Sebelum ini (2008) FAM pernah membayangkan untuk layak ke Piala Dunia 2018 sedangkan ketika itu kita tidak pernah layak ke Piala Asia pun.
Malah kita juga terkial-kial dalam saingan peringkat Asia Tenggara.
Lupakan tentang itu.
Skuad Malaysia kini berubah wajah, hasil revolusi besar-besaran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengambilan beberapa pemain warisan berbaloi apabila menjelmakan kejayaan awal ini, sekali gus menangkis kritikan beberapa pihak yang kurang bersetuju, dengan pendekatan tersebut.
Yang pasti, pasukan seperti Jepun, Maghribi, Algeria dan beberapa pasukan yang layak ke Piala Dunia telah lama menggunakan cara ini (pemain warisan) sebagai salah satu strategi untuk memperkuat pasukan kebangsaan.
Hakikatnya, TMJ bukan sekadar fokus pemain warisan, tetapi juga dalam pelbagai aspek, superti pembangunan akar umbi, peningkatan kejurulatihan, pelaburan dalam infrastruktur moden, sehingga kepada pembudayaan profesionalisme dalam kalangan pemain dan penggerak industri bola sepak negara.
Kerana itulah beliau melantik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr. Craig Duncan.
Beliau menggunakan pendekatan yang sama, sebagaimana beliau mengurus pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) yang kini merangkul begitu banyak trofi.
Dalam tempoh 13 tahun, di bawah rejim TMJ, JDT telah pun meraih 12 trofi Liga Super, secara berturut-turut, empat trofi Piala Malaysia, lapan trofi Piala Sumbangsih serta trofi Piala AFC.
JDT berada di ranking ke-573 dunia, mengatasi beberapa kelab ternama termasuk dari Eropah.
Berdasarkan laman analisis bola sepak, Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 kelab seluruh dunia, skuad JDT memperoleh 71.8 mata.
Realitinya TMJ mahu melihat pasukan Harimau Malaya melakar nama di persada antarabangsa… bukan sekadar ‘raja Asia Tenggara’, tetapi lebih daripada itu.