KUALA LUMPUR, 12 Jun: Malaysia optimis ASEAN berada di landasan tepat untuk muncul blok ekonomi serantau keempat terbesar di dunia menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia susulan blok itu mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN sebanyak 4.7 peratus pada tahun ini.
Kata beliau, bagi membolehkan ASEAN merealisasikan hasrat berkenaan, ekonomi blok itu perlu terus berkembang dengan menyasarkan pertumbuhan KDNK antara empat hingga lima peratus sehingga 2030.
“Melihat kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara anggota ASEAN, saya fikir sudah tentu (boleh dicapai) kerana ia adalah pertumbuhan agregat semua ekonomi ASEAN.
“Berdasarkan anggapan hari ini, ya tetapi jangkaan pada hari esok boleh berubah. Formula ekonomi adalah berdasarkan kepada pemboleh ubah yang dimasukkan dalam formula tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Sosialisasi Serantau Pelan Strategik AEC bagi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika berucap melancarkan persidangan itu,Tengku Zafrul berkata, Pelan Strategik AEC akan memastikan dasar-dasar ASEAN sentiasa relevan dan dikemas kini.
Katanya, ia akan membolehkan ASEAN untuk bertindak balas dengan lebih pantas terhadap keperluan perniagaan yang berubah sertamenghadapi cabaran baharu.
Selain itu, pelan itu juga akan memainkan peranan penting dalam membantu ASEAN menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2030.
“Pelan ini berfungsi sebagai peta hala tuju yang komprehensif, dengan langkah yang jelas dan boleh dilaksanakan ke hadapan.
“Ia telah dibangunkan secara teliti untuk melaksanakan aspek ekonomi Wawasan Komuniti ASEAN 2045, dengan memanfaatkan peluang dan potensi besar yang dimiliki oleh ASEAN,” katanya. -TVS.