KUALA LUMPUR, 12 Jun: Syarikat – syarikat antarabangsa yang bertapak di Malaysia dengan melakukan pelaburan dalam beberapa sektor menyatakan komitmen untuk terus kekal di sini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarikat-syarikat baharu yang mahu melabur pula mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ susulan perkembangan geopolitik dunia yang tidak menentu.
“Apabila mengadakan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat itu, kami memahami situasi mereka. Pada masa yang sama, apa yang kami lihat ialah syarikat-syarikat yang sudah melabur di Malaysia,menyatakan tidak akan menarik diri.
“Tetapi syarikat baharu yang belum membuat komitmen kini sedang berfikir untuk melakukannnya atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas hadir Persidangan Sosialisasi Serantau Pelan Strategik AEC bagi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 disemak semula iaitu 3.9 peratus dalam satu laporan oleh Bank Dunia semalam.
Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sedang memantau pertumbuhan KDNK negara tahun ini dengan ia masih berada dalam lingkungan jangkaan.
Berdasarkan laporan Bank Dunia semalam, penurunan sebanyak 0.6 mata peratusan berbanding unjuran pada Januari 2025 oleh Malaysia dikaitkan dengan kesan makroekonomi yang tidak menentu susulan halangan perdagangan yang lebih tinggi.
Laporan itu menjelaskan, halangan perdagangan boleh menekan pertumbuhan walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada sokongan dasar fiskal seperti program perbelanjaan sosial dan pelaburan awam.
Selain itu, laporan itu berkata, penyatuan fiskal secara sederhana dijangka diteruskan di Malaysia. – TVS.