KUALA LUMPUR, 11 Jun: Malaysia Madani: Rakyat Disantuni dipilih sebagai tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 manakala penggunaan logo Malaysia Madani sebagai logo sambutan kekal hingga 2027.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tema itu diangkat bagi menyerlahkan keprihatinan kerajaan dalam menyantuni rakyat.
“Tema berkenaan dipilih untuk menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberi perhatian utama.
“Ia selaras dengan usaha membangun Malaysia MADANI, teras perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Fahmi turut mengumumkan beberapa program utama telah dirancang bagi menyemarakkan semangat masyarakat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
“Ini termasuk Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 27 Julai di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor,” katanya.
Tambahnya, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya.
“Manakala Sambutan Hari Malaysia 2025 pula akan diadakan di Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada amalan penggiliran lokasi sambutan tahunan,” menurutnya.
Jelasnya, penggiliran lokasi termasuk di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung merupakan usaha kerajaan dalam memastikan keterangkuman dan memperkukuh semangat kebersamaan antara semua negeri dan wilayah di Malaysia. -TVS.